Tuesday, October 30, 2012

Bengkel Pengurusan PSS/NILAM & Literasi Maklumat (Kohort 4)


30 Oktober 2012 : Pekeliling Ikhtisas Bil. 10/2000 (bertarikh 20 April 2000) menegaskan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia sentiasa memberi penekanan yang sewajarnya dalam pelaksanaan program berkaitan Pusat Sumber Sekolah(PSS) di seluruh negara. Ini sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bertujuan memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan seterusnya mengupayakan generasi muda untuk mengharungi cabaran dunia abad ke-21 dengan lebih cemerlang.
Setiap sekolah diperuntukkan seorang (1) Guru Perpustakaan dan Media (GPM) melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/2005. Pekeliling ini menggariskan senarai tugas GPM bagi mencapai objektif PSS berikut:
  • Menyediakan perkhidmatan dan sumber pembelajaran dalam pelbagai format bagi membolehkan semua warga sekolah menjadi pengguna maklumat yang efektif dan pemikir yang kritis.
  • Menyediakan perkhidmatan secara bertanggungjawab, adil dan saksama kepada semua warga sekolah.
  • Meningkatkan tahap pencapaian murid dalam pembacaan, literasi maklumat, pembelajaran, penyelesaian masalah dan kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK).
  • Melahirkan individu bestari yang mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat.
Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang pesat dan dinamik memberi kesan yang besar dalam pelaksanaan pembudayaan literasi maklumat di sekolah. Perkembangan ini turut mengubah lanskap pengurusan PSS dan pelaksanaan program dan aktiviti galakan membaca dan kemahiran maklumat.
Justeru, GPM perlu mempunyai kompetensi untuk merealisasikan objektif PSS di atas yang menjurus kepada pengurusan PSS abad ke-21 atau dikenali dengan nama seperti Pusat Sumber Digital, Pusat Sumber merentas sempadan dan masa (ubiquitous). Oleh itu, mereka perlu diberi pendedahan, kesedaran, pengetahuan  (pedagogi, pengisian) dan kemahiran  berkaitan peranan mereka dalam pengurusan perubahan agar pembudayaan literasi maklumat di sekolah dapat dilaksanakan dengan berkesan.

SILA KLIK DISINI UNTUK TINJAUAN (SLOT eSurveyPro : Bengkel Pengurusan PSS/NILAM & Literasi Maklumat (Kohort 4)